Pentadbiran di bawah Kekhalifahan al-Rasyidin Penaklukan_Levant_oleh_Muslim

Para pemerintah baharu Syria membahagikan wilayah itu kepada empat daerah tentera atau jund (Arab:جند ):Jund Dimasyq (Damsyik), Jund Hims, Jund al-Urdun (Jordan), dan Jund Filastin (Palestin) (kemudian ditambah dengan jund kelima, Jund Qinasrin)[11] dan garison Arab tinggal berasingan daripada penduduk tempatan dan kehidupan mereka berjalan macam biasa.[1] Pihak Muslim mengambil polisi toleransi terhadap agama-agama lain dan ini memberi kesan baik, terutamanya di kalangan Kristian Nestorian dan Gereja Jacobite, dan juga orang Yahudi, (Ahli Kitab), yang sebelum ini ditindas Byzantine.[1][10] Kesetiaan rakyat baru menjadi faktor utama kejayaan pemerintahan Muslim di wilayah itu dan oleh sebab itu para pemerintah Muslim mengelak daripada mengenakan cukai berlebihan ataupun sebarang bentuk penindasan.[10] Cukai-cukai yang dikenakan termasuk kharaj, sebuah bentuk cukai yang dibayar pemilik tanah dan petani mengikut hasil mereka, dan juga jizyah, cukai yang dibayar penduduk bukan Muslim sebagai balasan untuk perlindungan oleh negara Muslim dan pengecualian daripada perkhidmatan tentera. Perkhidmatan awam Byzantine dikekalkan sehinggalah sebuah sistem baru dapat diperkenalkan; justeru, bahasa Yunani kekal menjadi bahasa pentadbiran di dalam wilayah-wilayah baharu Muslim buat lebih 50 tahun selepas penaklukan.